Masalah yang pertama yang patut diperhatikan oleh orang yang berakal ialah keadaan dan suasana dirinya sendiri, setelah itu barulah ia melihat atau memerhatikan seluruh makhluk dan ciptaan. Dari semua itu , dapatlah difahami dari mana sumber semua itu dan siapa yang menciptakan semua itu. Sebab, makhluk itu tanda Al-khaliq (yang mencipta), tanda yang menunjukkan kekuasaan Yang Maha Gagah dan menunjukkan bahawa yang menciptakan itu tentu Maha Bijaksana. Adanya makhluk menunjukkan adanya Al-Khalik, kerana keberadaan semua makhluk itu lantaran ada yang menciptakannya. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. dalam ulasannya tentang firman Allah :
"Dan Dia jadikan untukmu segala yang di langit dan yang di bumi".
Diriwayatkan bahawa ulasan ayat tersebut adalah sebagai berikut :
Dalam setiap sesuatu itu tersirat satu sifat di antara sifat-sifat Allah dan dalam setiap nama itu tersirat satu tanda untuk salah satu di antara nama-namaNya. Dengan demikian, pasti kamu ada dalam salah satu di antara nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Batin-Nya nampak melalui kuasa-Nya dan zahir-Nya nampak melalui kebijaksanan-Nya. Dia nampak di dalam sifat-sifat-Nya dan sifat-sifat-Nya terpelihara di dalam perbuatan-perbuatan-Nya . Dia menampakkan ilmu-Nya melalui iradat-Nya dan Dia menyatakan iradat-Nya didalam gerak-Nya. Dia menyembunyikan kemahiran dan kebijaksanaan-Nya, dan menyatakan kemahiran dan kebijaksanaan-Nya melalui iradat-Nya. Maka, Dia tersembunyi di dalam ghaib-Nya dan tampak di dalam kebijaksanaan dan kekuasaanNya.
Firman Allah :
"Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (QS, 42:11)
Sesungguhnya banyak rahsia-rahsia ilmu kerohanian di dalam kenyataan ini yang tidak diketahui oleh orang-orang yang tidak memiliki sinar kerohanian di dalam hatinya. Ibnu Abbas mendapatkan ilmu itu dikeranakan doa Nabi Muhammad saw, untuknya. Nabi mendoakannya, " Ya Allah, berilah ia pengetahuan tentang agama dan ajarlah ia pengertian tentang Al-Quran".
Semoga kita mendapatkan limpahan kurniaNya dan dimasukkan ke dalam orang-orang yang mendapatkan rahmatNya di hari kebangkitan kelak.
Home
»
Futuuhul Ghaib Syeikh Abdul Qadir Jailani
»
Futuuhul Ghaib Risalah 74 Syeikh Abdul Qadir Jailani
Futuuhul Ghaib Risalah 74 Syeikh Abdul Qadir Jailani
Oleh
duipee